Gunanya diod dan transformer

Di sini saya ingin huraikan serba sedikit mengenai diod dan kegunaannya. Seperti yang kita tahu diod fungsinya sebagai penerus voltan. Diod hanya membenarkan arus terus melaluinya. Maknanya ia boleh menukar arus ulang alik (ac) kepada arus terus (dc). Kalau kita tengok pada gelombang arus ulang alik (ac) adalah berbentuk sinus (macam gelombang turun naik). Kalau arus terus pula ianya satu garisan lurus.

Fungsi diod boleh menghasilkan gelombang garisan lurus ini, tetapi ada pelbagai peringkat. Jika guna satu diod sahaja sebagai penerus, ia belum boleh menghasilkan gelombang garisan lurus. Hanya satu bahagian sahaja (sama ada atas atau bawah) yang terhasil garisan lurus (kalau lihat pada osiloskop). Sebahagian lagi masih gelombang sinus. Untuk itu, penggunaan diod kedua diperlukan untuk menghasilkan satu garisan lurus atau mendapatkan arus voltan terus (dc) yang sebenarnya. Atau kalau nak lagi bagus, guna empat diod yang dikenali penerus jenis tetimbang. Pada keadaan ini voltan adalah benar-benar dc.

Pada asasnya ia menjadi voltan dc, tetapi sebenarnya ia masih tidak begitu tulen sehingga penambahan komponen lain seperti beberapa kapasitor. Apa pun pada asasnya saya terangkan fungsi sebenar diod. Diod yang sesuai digunakan sebagai penerus adalah diod kuasa seperti 1N4001, 1N4002, 1N4007 dan sebagainya.

Jadi apakah fungsi transformer? Apakah kaitan transformer dengan diod? Jika ada transformer, mesti ada diod (tapi tidak semua keadaan). Jika transformer digunakan untuk menghidupkan sesuatu litar projek, diod perlu digunakan untuk menghasilkan voltan dc. Manakala transformer gunanya untuk menurunkan voltan 240VAC kepada mungkin 12VAC atau 9VAC. Tengok pada trasformer yang digunakan. Transformer dikenali juga sebagai pengubah.

Bolehkah transformer yang menurunkan voltan kepada 15VAC menghidupkan litar projek yang hanya boleh menerima voltan tidak melebihi 12VDC? Jawapan boleh, dengan syarat perlu melalui peringkat pengatur voltan. Voltan 15VAC akan ditetapkan kepada 12VDC atau 10VDC. Bagaimana jika keadaan ini tidak diikuti? Biasalah... litar projek mungkin akan rosak.

Kerana itu perlunya unit bekalan kuasa (ubk) untuk menghidupkan litar projek dengan selamat. Diod adalah komponen penting bagi menghasilkan voltan dc tetapi ikut kaedah tertentu. Jangan samakan diod isyarat dengan diod kuasa walaupun fungsinya juga sama, tetapi diod isyarat mempunyai kendalian arus maksimum yang sangat rendah berbanding diod kuasa. Bagaimana pula dengan LED? LED juga diod. LED tidak sesuai dijadikan sebagai litar komponen litar penerus. Walaupun begitu LED akan menyala walaupun pada voltan ac (tapi voltannya jangan lebih dari 3 volt).