Antara EMF detector dan MtD

Jika ada masa terluang saya akan sambung ujikaji saya terhadap satu lagi litar yang berkaitan dengan frekuensi. Frekuensi yang terpilih adalah seperti elektromagnet dan frekuensi gelombang mikro. Saya membuat sedikit ujian terhadap kehadiran gelombang frekuensi telefon dan juga mikrowave yang mana lebih kuat tahap pembebasannya melalui satu alat yang saya rekakan. Alat tersebut pada mulanya menggunakan satu coil kecil yang siap dan boleh dibeli di kedai komponen. Tetapi apa pun tahap kepekaan penerimaanya tidak kuat seperti yang saya harapkan.

Oleh itu saya guna coil yang lebih besar dan dibina sendiri. Kos pembinaan agak besar sedikit kerana menggunakan lilitan wayar tembaga bersalut. Tambahan pula diameter dan bilangan lilitan juga perlu dijaga dengan rapi bagi mendapatkan kesan yang dikehendaki. Jelas terbukti hasilnya sangat memuaskan kerana beberapa alat elektrik boleh dikesan melalui kaedah ini seperti mikrowave, laptop dan handphone. Namun tidak semua alatan elektrik menghasilkan signal. Walaupun dahulunya saya pernah mereka satu alat yang boleh mengesan EMF dengan lebih peka seperti pada TV yang sedang on dan juga talian cable elektrik. Tidak seperti alat baru ini, ia memilih untuk menerima gelombang mikro sahaja.

Jika dilihat pada coil yang dihasilkan, saya juga sedang siapkan satu ujian lagi bagi alat metal detector yang mempunyai tahap kedalaman yang kuat dan belum ada orang boleh buat dalam dunia ini lagi. Namun begitu kos untuk membinanya sangat mahal dan saya perlu mencari dana untuk ujikaji ini. Agak mustahil tetapi alat tersebut sangat besar dan tiada siapa yang terfikir bentuknya. Tidak seperti metal detector (MtD) yang pernah saya buat sebelum ini mempunyai kepekaan yang berlainan dan bergantung kepada pengiraan matematik untuk menetukan jarak kedalam dan juga diameter coil. Ramai yang berharapkan alat tersebut siap dan berfungsi dengan baik tetapi saya sedang memohon dana untuk ujikaji ini kerana kosnya yang sangat tinggi. Saya hanya mampu untuk hasilkan rekaan yang berkos sederhana sahaja.

Pengujian semula

Baru-baru ini saya menghabiskan masa dengan menguji berkali-kali litar pengukur jarak dengan membuat perbandingan antara diodfoto dengan transistor foto. Pengujian dilakukan mengikut jenis-jenis sensor dan pemerhatian dibuat dengan membanding tahap sensitiviti sensor. Ternyata sekali memang ada perbezaan ketara dan setiap sensor mempunyai tahap kepekaannya tersendiri. Jadi selepas ini jika ada diagram litar yang menunjukkan penggunaan fotodiod atau sensor infrared, berhati-hati dengan sensor tersebut kerana tahap kepekaan yang berbeza.

Ini terbukti setelah ujian dilakukan pada beberapa litar projek baru-baru ini dan juga beberapa tahun sebelum ini. Memang ada bezanya kerana terdapat satu litar yang sesuai dengan sensor tertentu dan tidak pada sensor lain. Jika ditukar sensornya litar tidak berfungsi dengan baik walaupun litar amplifier ditambah atau pun pelarasan kepekaan dibuat ke tahap maksimum. Namun disebalik semua proses yang dilakukan, sensor-sensor yang ada mempunyai kelemahan pada cahaya atau gangguan sinaran. Walaupun disertakan dengan penapis sekali pun ia masih tetap tidak dapat melindungi kelemahannya melainkan kaedah pemilihan frekuensi tetap.

Pada laporan ujikaji saya sendiri banyak membuat kesimpulan yang kesemua sensor tidak boleh disesuaikan dengan sebarang litar. Jadi tidak hairanlah jika saya menerima banyak rungutan mengenai litar infrared ini walaupun diberi diagram yang paling mudah. Namun begitu kelebihan pancaran infrared ini ia tidak boleh nampak melalui mata kasar kecuali kamera digital dan ianya boleh membawa isyarat suara dan juga data dengan mudah.

Dahulunya saya ada menyiarkan litar pembasuh tangan automatik, tetapi saya tarik balik diagram tersebut kerana ramai yang merungut susah nak buat dan kemudian saya reka semula litar tersebut untuk semua orang boleh buat dengan berjaya. Apa pun saya masih menerima rungutan yang tidak henti henti kerana masih susah untuk dibuat sampai jadi, sedangkan saya sudah membinanya hampir 30 litar yang sama dan berfungsi baik. Kemudian saya tarik semula diagram dan simpan. Kini saya selesai buat ujian terhadap kesemua litar yang ada berkaitan dengan sensor infrared dan siap untuk dimasukkan ke dalam laporan rahsia saya.