Projek suka-suka

Assalamualaikum dan salam ceria.

Kali ini untuk dua hari berturut turut saya tunjukkan satu lagi projek mudah yang boleh dibuat dalam masa 5 minit. Ia adalah litar projek pengesan objek infrared.


Seperti projek lama pembasuh tangan automatik yang pernah saya buat dulu, litar ini lebih mudah dan senang untuk dibuat di atas project board.

Range atau jarak pengesanan objek seperti dinding, tangan atau sebagainya boleh dilaraskan pada VR 10K. Sebagai info tambahan, pastikan LED ir RX kakinya perlu diterbalikkan. Maknanya positif untuk kaki yang pendek dan negatif untuk kaki yang panjang. Pastikan juga ianya jenis yang berwarna clear (jernih) kerana yang jenis gelap ianya tidak akan berfungsi dengan baik.



Pada pin 3 IC, ia adalah masukan denyut clock. Denyutan ini boleh dihasilkan dengan litar pemasa 555. Tapi anda tidak perlukannya hanya untuk menguji litar ini sahaja.

Jika dilihat pada video, terdapat beberapa komponen tambahan seperti IC pengatur voltan dan kapasitor. Ia adalah litar pengatur voltan untuk menghasilkan voltan 5 volt dari punca voltan yang lebih besar. Bateri 6 volt sudah memadai untuk litar ini berfungsi.

Selamat mencuba.

Anda mahu lagi seperti ini? Beritahu saya litar projek mudah yang ingin anda lihat.

Projek suka-suka

Assalamualikum dan salam ceria.

Kali ini saya nak tunjukkan satu projek mudah untuk dibuat dalam masa 5 minit. Saya buat projek ini ketika ada masa menunggu sebelum student datang ke lab saya. Masa yang ada saya buat projek mudah ini untuk memenuhi ruang masa.


Oleh itu saya kongsikan kepada semua litar ini bersama dengan videonya sekali. Jika anda ada masa, (tak lama, 5 hingga 10 minit je) bolehlah cuba litar mudah ini.

Bentuk kerlipan berbeza dengan kerlipan litar yang hampir serupa dengan litar ini. Perbezaan adalah kepada penambahan diod dan kapasitor 100 mikro Farad. Guna LED ultra bright sahaja yang berwarna biru atau putih. Jangan guna LED biasa kerana hasil kerlipan yang tidak seperti yang diharapkan. Hanya guna bateri 3 volt sahaja dan ianya tahan lama jika dibiarkan on (sudah seminggu saya biarkan on, masih lagi ok).

Selamat mencuba!

Nak lagi macam ni? Bagitau saya litar projek mudah yang ingin anda saya buatkan seperti ini.

Pemasa berterusan (24 jam)

Setiap litar pemasa mempunyai pelbagai karekter tersendiri bagi melaksanakan tugasan mengawal masa yang ditentukan. Sama ada mengawal masa untuk dalam keadaan on atau pun off. Ianya biasa dikawal oleh satu nilai rintangan atau pun nialai kapasitan bagi menentukan jumlah masa yang diperlukan bagi litar pemasa.

Pemasa normal, biasanya akan berfungsi pada masa tertentu dan akan off setelah cukup masanya. Sebaliknya ada litar yang off pada masa tertentu dan akan on setelah cukup pemasanya. Dua keadaan ini akan habis tindak balasnya begitu sahaja dan tidak akan mengulangi tindakan seperti pada mulanya.
Namun terdapat juga litar pemasa yang berfungsi berterusan untuk aksi yang dikawal setiap masa mengikut apa yang kita mahukan. Ianya bergantung juga kepada aplikasi yang hendak kita kawal. Sebagai contoh saya menggunakan litar pemasa berterusa untuk mengawal pergerakan tray untuk cabinet penetas terul ayam kampong.
Target utama adalah mengawal pergerakan servo untuk menggerakkan tray telur bagi setiap 3 jam atau pun mengikut masa yang saya inginkan bergantung kepada permintaan pengguna. Pada litar tersebut mengandungi channel yang perlu disambungkan mengikut julat masa yang dikehendaki dan disertakan dengan pelaras untuk menentukan masa yang tepat bagi menghidupkan servo.
Pada keluaran servo, masa untuk servo beroperasi juga boleh ditentukan dengan pelarasan masa. Secara kesimpulannya masa tertentu disetkan untuk enghidupkan servo. Servo pula akan on pada masa yang telah disetkan juga. Biasanya servo akan on sekejap sekitar 2 hingga 3 saat sahaja. Setelah semua proses telah berlangsung, ianya akan kembali semula pada proses yang mula-mula dan ianya berterusan selama-lamanya.

Pada servo sebenarnya disambungkan kepada litar dwiarah yang akan menggerakkan servo dua arah berbeza bergilir-gilir setiap kali pemasa on. Litar ini mudah untuk dibina dan tidak memerlukan program software untuk melaksanakannya.

e-book Projek Elektronik Percuma

Di sini saya ingin memberitahu bahawa anda berpeluang untuk mendapatkan e-book Projek Elektronik Percuma di SINI. Hanya dengan memberikan nama dan emel ke dalam ruang yang disediakan, anda akan dapat e-book tersebut terus ke emel anda.

Pastikan alamat emel anda adalah betul untuk mengelakkan masalah penghantaran emel yang berlaku. Pada masa yang sama juga blog ini telah di-link dengan laman web www.myenique.com. Disebabkan laman web tersebut masih baru, banyak lagi info-info berkaitan masih belum lagi dimasukkan. Proses kemasukan info ini sedang berlangsung secara berperingkat-peringkat.

Diharap anda dapat mendaftar secara percuma dengan memasukkan nama dan alamat emel anda dan saya berikan e-book percuma juga kepada anda. Anda boleh masuk terus ke www.myenique.cim atau klik gambar ebook di sebelah kanan blog ini.

Selamat mencuba.

"Joule Thief"

Adakah anda pernah dengar perkataan "Joule thief"? Tiada istilah dalam bahasa melayu. Jika diterjemahkan mungkin bunyinya agak pelik.

Saya meminati konsep "Joule thief" ini dan digunakan dalam litar elektronik untuk menggandakan voltan dalam satu litar elektronik. Konsep "Joule thief" ini sinonim dengan penggunaan LED. Kaedah mudah mengaitkan dengan penggunaan LED sebagai peranti penguji yang terbaik. LED yang seperti kita tahu menyala pada kadar arus dan voltan yang paling minima. Oleh itu penggunaan tenaga adalah sangat jimat berbanding dengan mentol berfilamen.

Saya sangat meminati litar yang menggnakan kesan kepada LED. Salah satu litar yang paling saya suka adalah litar "Joule thief" yang mana LED dapat dinyalakan dengan hanya satu bateri 1.5 volt sahaja.

Seperti yang kita tahu LED tidak mampu menyala jika voltannya kurang daripada voltan had nyalaanyanya. Maksudnya jika satu LED boleh menyala pada voltan 3 volt, maka jika voltan kurang dari 3 volt, LED tidak menyala. Dengan litar "Joule thief", LED dapat dinyalakan dengan terang dengan menggunakan satu bateri 1.5 volt sahaja.


Konsep mudah digunakan dalam litar "Joule thief" ini adalah terdiri daripada satu bahagian pengayun dan bahagian paling pentinga adalah transformer terbang balik (flyback transformer).

Dengan litar ini jugalah saya menghasilkan beberapa produk seperti lampu suluh jimat tenaga, LED pelita elektronik dan membuat penambahbaikan kepada semua lampu suluh yang menggunakan LED.

Setakat ini, jumlah LED paling banyak adalah 10 LED disambung sesiri dan cahaya nyalaan masih lagi terang dan sukar untuk percaya bateri 1.5 volt mampu menyalakan dengan terang sebanyak 10 LED secara sesiri. Setelah diukur voltan pada keluaran litar, meter menunjukkan nilai 30 volt. Jika tersilap pasang LED seperti bateri dipasang dahulu sebelum LED disambung, besar kemungkinan kesemua LED akan terbakar dan rosak.

Penganugerahan di ITEX 2011

Assalamualaikum. Salam ceria dan ketemu kembali.

Terlalu lama untuk saya tinggalkan update blog ini. Namun saya kembali semula dengan pelbagai cerita dan pengalaman untuk dikongsikan. Pada masa yang terdekat ini saya akan umumkan web site terbaru yang boleh anda layari untuk dapatkan pelbagai info dan juga beberapa produk pembelajaran yang mungkin sesuai untuk anda.

baru-baru ini pada 20 sehingga 22 hb Mei 2011 saya mengikuti pertandingan rekacipta inovasi antarabangsa ITEX di KLCC. Saya sekali lagi sebagai mentor untuk sekolah yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Projek atau produk yang diketengahkan adalah 'Pelita Solar'. Agak lucu tajuknya tapi, berjaya berada top 5. Keputusan yang diperolehi memperolehi Silver Medal untuk Asia ITEX dan tempat ketiga untuk peringkat kebangsaan MYIC.


Tahniah diucapkan kepada kejayaan sekolah terbabit iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Jelok, Kajang atas usaha sekolah dan kepercayaan kepada saya memberi tunjuk ajar untuk pertandingan sehingga memperolehi hasil yang memberangsangkan.


Diharap dengan dapatnya anugerah pingat ini, sekolah dapat menghasilkan produk sendiri untuk dijual bagi menambah duit simpanan sekolah. Tahniah sekali lagi.