Langkau ke kandungan utama

IC 4017

Ramai tahu dan ada segelintir sahaja yang tidak mengetahui fungsi kegunaan IC CD4017 atau MC4017 atau 4017 sahaja. Jika ingin beli ic ini terutama di kedai elektronik seperti di Jalan Pasar Pudu, hanya sebut ic 4017 sahaja, tidak perlu sebut CD atau MC. Namun ada sesetengah kedai-kedai di kawasan yang kurang popular, perlu disebut sepenuhnya. Ada beberapa kedai (hampir semua) di Jalan Pasar Pudu jika kita meminta ic seperti MC4017, kita akan dapat ic CD4017. Jadi janganlah marah atau panic. Ianya sama sahaja melainkan anda benar-benar cerewet sangat dalam pemilihan barang.

Jika anda ingin membina litar projek LED running light, ic ini adalah komponen utamanya selain beberapa komponen lain seperti ic pemasa 555 dan komponen pasif yang lain. IC 4017 ini merupakan ic counter atau divider yang mempunyai 10 keluaran (output). Pada litar projek running light, 10 LED disambung kepada terminal output ic. Oleh itu kerlipan secara berturutan akan kelihatan. Oleh itu secara maksimum keluaran yang boleh dibuat adalah 10 sahaja. Jika ingin lebih, litar modifikasi perlu dibuat.

Bagaimana jika kita ingin kurangkan outputnya. Maksudnya seperti 6 output atau 3 output. Caranya mudah hanya dengan penyambungan wayar jumper kepada pin 15. Baiklah, untuk keluaran mempunyai 10 pin iaitu (ikut turutan keluaran) pin 3, 2, 4, 7, 10, 1, 5, 6, 9 dan 11. Oleh itu dengan mengikut susunan ini, kerlipan pada LED akan mengikut turutan yang betul. Jika inginkan enam kerlipan sahaja, maksudnya selepas kerlipan LED keenam, ia akan berganjak ke LED pertama semula? Jika dilihat pada pin ic, LED keenam pada pin 1. Selepas pin 1 adalah pin 5. Oleh itu pin 5 perlu disambungkan ke pin 15 untuk menghasilkan keluaran 6 sahaja. Begitu jugalah kepada bilangan yang lain sekiranya inginkan kurang dari 10.

Satu lagi ic yang serupa fungsinya dengan ic 4017 adalah 4022. Bezanya adalah pada output. Jika ic 4017 mempunyai 10 output, ic 4022 mempunyai 8 output sahaja.

Selain dari litar running light, banyak lagi yang boleh dibuat dengan ic ini. Ia boleh digunakan sebagai counter, pembahagi masa/level dan banyak lagi yang anda boleh cari kegunaannya mengikut kreativiti anda.

Voltan minimum untuk mengendalikan ic ini adalah 3 v dan maksimum adalah 18 v. Ia mempunyai 16 pin. Sila guna ic soket untuk pemasangan yang sempurna.

Post Yang Mesti Anda Baca