Langkau ke kandungan utama

Siapa saya?

Agak susah sikit untuk saya memperkenalkan diri. Maklumlah saya ni agak pemalu sikit dan kurang bercakap banyak. Lebih-lebih lagi mengenai hal-hal yang remeh temeh atau perkara yang melalaikan. Namun begitu saya perlu juga memperkenalkan diri kepada umum mengenai perihal saya dan juga aktiviti yang pernah saya lakukan. Kiranya macam nak promote dan menyakinkan diri la ni.

Saya adalah orang yang bertanggungjawab yang menubuhkan dan membangunkan Myenik.com. Saya menyukai rekacipta elektronik. Oleh itu saya mempunyai sejarah pendidikan yang bersangkut paut dengan elektronik. Kerana itu adalah minat saya. Bukan sekadar minat tetapi ianya adalah hobi saya sepenuh masa. Pendidikan awal saya dalam bidang elektronik semasa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Vokasional Ampangan, Seremban (sekarang sudah jadi sekolah teknik). Sebelum itu saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang dan subjek kesukaan adalah kemahiran hidup dan sains. Minat dalam bidang elektronik sebenarnya bermula pada umur 13 tahun dan masa itu saya antara kumpulan pelajar pertama yang menerima matapelajaran kemahiran hidup dalam Malaysia masa itu.

Pada umur 13 tahun saya banyak menghasilkan rekaan elektronik dan rekod banyak memusnahkan alatan elektronik semata-mata untuk mempelajari elektronik secara bersendirian kerana pada masa itu sumber maklumat mengenai elektronik susah nak cari dan tidak tahu di mana. Berjaya mencipta sistem echo microfon dengan satu litar mudah. Tetapi tidak pernah membuat catatan atau rekod untuk rekaan tersebut sehingga ke hari ini saya sudah lupa formula yang pernah saya gunakan (nak kena recall balik memori). Projek elektronik pertama semasa di bengkel kemahiran hidup adalah LED kelip kelip. Tapi saya modify jadi LED kelip-kelip ala lampu polis, hanya tukar transistor dan terbalikkan kaki kapasitor. Berjaya membuat kaset wireless sendiri. Dan banyak lagi sehinggakan saya sendiri sudah lupa apa yang pernah saya buat masa itu.

Selepas SPMV, sambung pelajaran berkaitan bidang elektronik di POLIMAS. Belajar di sana, suka buat projek elektronik senyap-senyap dalam bilik tanpa pengetahuan rakan-rakan. Sering kali ke Alor Setar untuk beli komponen elektronik untuk buat projek rekacipta elektronik. Masa tu tak ada member yang sekepala yang suka buat projek. Kalau ada pun seorang saja, itu pun suka buat projek Power Amp. Nak tak nak saya layan juga dan suka bersaing tunjuk power amp siapa yang paling power. Final projek adalah saat yang paling best. Saya buat projek helmet keselamatan dengan sistem wireless seperti lampu brek dan signal dimuatkan sekali kat helmet tu. Tambahan lagi ada satu pot untuk pengguna mengguna handphone tanpa perlu buka helmet (masa tu handphone belum popular lagi dan belum ada orang guna).

Selepas Poli, sambung belajar lagi berkaitan bidang elektronik juga di UTM. Masa ini, saya banyak buat R&D dan kurang membuat projek yang siap. Semua Xperimen direkodkan dan dibukukan untuk rujukan dan simpanan sendiri untuk projek akan datang. Apabila sudah bekerja, saya kurang menumpukan bidang rekacipta ini kerana kesibukan bekerja dan banyak pergi outstation. Habis kerja outstation, saya buka buku lama kembali dan meneruskan hasrat dalam bidang rekacipta elektronik sehingga ke hari ini. Banyak rekaan telah dihasilkan tetapi tidak pernah ditunjuk kepada umum. Belum masanya lagi dan kalau ada rekaan yang pernah saya tunjukkan pun itu yang biasa-biasa saja.

Saya jenis susah nak percayakan orang. Baik yang dah lama kenal mahu pun yang baru kenal. Saya menerima banyak permintaan dan juga tawaran untuk menunjukkan semua rekaan yang ada. Tetapi saya tolak. Begitu juga dengan hal-hal yang lain sehinggalah saya pernah dianiaya. dimaki dengan kata-kata kesat serta lucah dan difitnah disebabkan sesuatu perkara berkatian dengan rekaan elektronik. Dari kes itu saya sentiasa berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan pelbagai tekanan. Namun begitu saya masih lagi tidak mahu tunjukkan apa yang ada dalam simpanan sehingga ke hari ini.

Kini saya sedang bertarung untuk menubuhkan satu syarikat besar yang menghasilkan produk elektronik untuk pasaran luar negara atau global (maaflah, kat Malaysia tak jual sebab memang tak ada siapa nak beli. Korang ada beli ke?). Berusaha untuk mengadakan sektor R&D berkaitan dengan produk elektronik. Berusaha untuk mengumpul para genius perekacipta elektronik dalam Malaysia. Sedang berusaha untuk mengambil alien technology untuk kemajuan manusia. Tapi saya terlupa semua ini adalah urusan duniawi semata-mata dan harapan saya semoga saya tidak terkeluar dari landasan iman dan takwa.

Saya berasal dari Segamat, Johor dan dibesarkan di Kajang, Selangor. Kini menetap di Semenyih Selangor. Pengalaman bekerja di serata tempat seluruh Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak. Sangat aktif berpesatuan dan kelab semasa di sekolah dan kolej seperti Kelab Bimbingan Kaunserling, Kelab Sains Matematik, Kelab Elektronik, Kelab Komputer, Silat Gayung Malaysia, Taekwon-do, walik daerah Seremban Timur 110 lari berpagar, wakil daerah badminton, wakil daerah Kajang pertandingan melukis 3 tahun berturut-turut. Nyaris-nyaris masuk askar Wataniah dan sukan rugbi. Wakil Polimas badminton tetapi tolak tawaran sebab tarik diri saat akhir (masa tu nak kena pergi PoliKB ada perlawanan). Dan akhir sekali Persatuan UFO Malaysia (masih aktif sehingga sekarang).

Akhir sekali pasal diri saya kalau tiba-tiba terjumpa kat mana-mana, saya suka senyum tetapi susah nak bercakap (pendiam). Cuma kalau bagi taklimat tu memang banyak bercakap (mesti).

Salam perkenalan.

Post Yang Mesti Anda Baca