Assalamualaikum. Salam ceria.
Pada kali ini saya cuba untuk menyentuh serba sedikit mengenai komponen yang penting untuk menjana tenaga elektrik pada waktu siang iaitu solar panel. Solar panel bentuk asasnya adalah seperti sekeping papan. Lapisan permukaan yang licin seperti cermin atau plastik. Ianya berwarna gelap, hitam atau kebiru-biruan.
Solar panel apabila diletak di bawah cahaya matahari ianya akan menghasilkan tenaga elektrik melalui dua terminal keluaran positif dan negatif. Elektrik yang terhasil merupakan voltan DC dan tidak merbahaya apabila disentuh.
Solar panel berfungsi menghasilkan tenaga elektrik daripada penerimaan cahaya matahari. Cahaya matahari adalah sumber yang paling utama dan yang sangat sesuai berbanding cahaya lampu. Solar panel tidak menyimpan cas elektrik.
Apakah kegunaan solar panel? Kebanyakan solar panel digunakan untuk mengecas bateri. Bateri yang dicas oleh solar panel digunakan untuk menghidupkan alatan elektrik. Jarang sekali alatan elektrik menggunakan tenaga dari solar panel secara terus tanpa penggunaan bateri dan litar pengatur voltan. Salah satu contoh seperti pada gambar. Ia merupakan kipas angin yang berfungsi dengan menggunakan tenaga elektrik terus dari solar panel. Namun begitu, kipas angin akan berpusing tidak konsisten kelajuannya kerana penghasilan tenaga elektrik dari solar panel adalah bergantung kepada kecerahan cahaya matahari.
Cahaya matahari yang cerah akan melajukan kipas angin dan manakala cahaya yang suram akan memperlahankan kelajuan kipas angin tersebut.