Upgrade Litar SPTA

Antara beberapa litar projek yang mendapat sambutan paling tinggi adalah Sistem Pembasuh tangan Automatik. Bilangan mereka yang memesan litar projek ini paling ramai berbanding dengan beberapa litar projek lain. Mungkin kerana fungsinya yang sangat unik. Tetapi apa pun jangan terlalu gembira dengan litar projek tersebut kerana ianya adalah idea lama. Ianya adalah rekaan saya yang mengalami pelbagai tahap ujikaji secara berperingkat peringkat.

Pada kali ini saya akan mewarwarkan litar projek tersebut telah dikemaskini dengan susunan komponen litar dan juga nilai komponen yang ditukar kepada nilai yang lebih bagus. Lebih bagus di sini bermaksud bahawa setelah menjalani beberapa ujian terhadap litar lama ia mengalami banyak masalah yang sama. Iaitu transistor yang senang rosak.


Pada asalnya saya meletakkan nilai transistor C945 dan kemudian ditukar kepada 9013. Kedua-dua transistor tersebut mengalami masalah ketika dipasang. C945 mempunyai susunan kaki yang berbeza dengan transistor lain. Rumitnya kerana kaki Base berada di sisi dan bukan berada di tengah seperti transistor lain. Transistor 9013 kaki Base berada di tengah tetapi ia cepat rosak dan tidak sesuai untuk kegunaan relay driver.

Masalah tersebut saya atasi dengan menukarkan kepada transistor BC547. Transistor ini tahan lasak setelah saya ujinya beberapa kali dengan dengan memasang dan menanggal dari PCB berulang kali. Malah jika diod yang disambung padanya jika terbalik pun ianya masih boleh bertahan dan tidak rosak. Bukan seperti 9013 yang cepat rosak.

Pada litar SPTA ini saya buangkan IC 7809. Asalnya saya pasang IC ini untuk membahagikan voltan kepada dua litar yang digabungkan ini. Kemudian terdapat masalah dari segi kegunaan bateri 9 volt. Litar projek ini tidak boleh berfungsi dengan voltan bateri yang kurang ssedikit dari 9 volt. Arus yang banyak hilang dari IC ini menyebabkan relay nak tak nak hidup. Setelah dicabut, relay boleh berfungsi dengan baik pada voltan bateri.

Kemudian saya membuat penambahan pada VR 100K pada litar pemasa. Sebelum ini saya hanya tetapkan nilai komponen yang tetap. Bermakna keputusan pemasa adalah tetap dan tidak boleh ubah melainkan tukar nilai komponen pemasa seperti nilai rintangan dan nilai kapasitan. Untuk itu saya ubah nilai kapasitor kepada 10 mikro Farad dan tukarkan nilai perintang tetap kepada 10K. Sesiri dengan 10K adalah VR 100K. Tujuannya adalah untuk melaraskan pemasa yang diingini. Masalah sebelum ini adalah relay akan sentiasa bunyi klik jika objek dikesan berterusan. Sela masa perlu ada bagi memenuhi masa apabila relay on untuk menghidupka alatan lain terutama motor pam air.

Ramai yang memberi komen kerana litar ini tidak berfungsi apabila dibuat. Sehinggakan orang kedai elektronik di jln Pasar Pudu pun akui litar ini tidak berfungsi apabila mereka buat. Tiada apa yang boleh saya katakan melainkan memberi senyuman 1000 makna saje.