Banyak nak kena buat prototaip

Buat masa ini selain dari menjalankan tugasan menyiapkan beberapa projek tempahan, pada masa yang sama juga saya sudah mula sikit-sikit memikirkan persiapan untuk projek seterusnya. Pada hal asal perancangan saya perlu siapkan beberapa kerja yang tertangguh sebelum ini. Tapi saya susah nak tidur malam memikirkan projek yang akan datang ini. Untuk elak dari masalah tersebut saya mulakan sikit sikit dulu sebagai pemanas badan.

Nampak gayanya kali ini saya memerlukan pandangan dari anda semua mengenai pelbagai perkara. Semuanya berkaitan dengan pandangan aktiviti dan produk baru. Saya perlukan survey yang boleh menguatkan lagi permintaan terhadap produk tersebut. Cadangan untuk buat kelas online juga mungkin saya akan pertimbangkan dan minta pandangan dari anda juga. Jika ianya baik dan banyak baik dari keburukan, saya akan laksanakannya. Jika tidak, saya akan lupakan hasrat tersebut.
Apa pun saya perlu bantu anda juga. Bagi yang ingin bekerjasama saya terima dengan tangan terbuka. Masakan beberapa tahun sebelum ini pun ramai yang berjumpa dengan saya dengan membawa idea-idea yang tip top dan ada yang ingin bekerjasama menjayakannya. Tapi banyak juga yang separuh jalan disebabkan kesibukan masing-masing dengan kerja. Apa pun kali ini saya ada masa. Dan peluang ini baru saja saya perolehi. Harap selepas ini tiada yang mengganggu.
Mengenai prototaip projek saya seterusnya, masa sibuk belum bermula lagi. Cuma sekarang ni tengah fikirkan dana-dana yang diperlukan untuk menjayakan projek tersebut. Jika kerajaan sudah siapkan lorong untuk memohon dana, buat masa ini saya sedang membuat persiapan. Tapi kalau ada pihak yang direct pada saya, alhamdulillah, senang kerja dan tak perlu melalui orang tengah. Apa pun buat masa ni saya dapat kerjasama denga satu pihak yang memang berminat dengan rekaan saya. Tapi itu baru permulaan dan saya belum boleh selesa lagi dengan hal tersebut. Namun saya terima sebagai satu peluang.

Pada simpanan peribadi saya terdapat beratus-ratus idea yang satu pun tidak dikeluarkan lagi. Tapi ada beberapa idea yang sudah terlepas terkandung dalam e-book Koleksi Projek Akhir yang telah saya tamatkan penjualannya. Itulah produk yang paling cepat tempoh penjualannya. Selepas itu terus tutup dan tidak dijual lagi. Idea-idea tersebut adalah antara senarai menunggu untuk dikeluarkan dan dijadikan aset produk baru pada masa akan datang. Ia berlandaskan mesra pengguna dan mampu dimiliki. Harga yang sama dengan produk dari China tetapi berkualiti dan buatan tempatan.
Semua tugasan ini saya lakukan bersendirian. Walaupun partner saya masih ada, tetapi saya rehatkan dahulu sementara saya setup organisasi MyEnik menjadi kukuh lagi. Buat masa ini juga MyEnik beroperasi melalui online saja. Pada masa akan datang insyaallah mungkin menjadi lebih cabangnya. Jadi, jika ada kelemahan yang terjadi, saya terima dan perbaiki setiap masa. Sebab jatuh bangun tu sudah menjadi lumrah kehidupan.

Saya pun ada final project juga

Kalau student IPT ada final projectnya sendiri, saya pun ada juga. Tapi untuk saya punya lagi susah la berbanding projek kat IPT. Yang menilainya pun bukan calang orang. Semuanya terdiri dari golongan profesional. Apa pun semua itu lambat lagi. Sebab saya perlu banyak perkara yang mesti disiapkan sebagai persediaan. Kalau tak bersedia takut-takut tak tak jadi pula. Apa yang saya nak present kan tu? Ada la. Tapi benda tu tak la hebat mana pun cuma ianya boleh diketengahkan je. Tapi mungkin bagi orang lain mereka kata hebat.

Tak tahu la nak kata. Benda-benda ni semua sudah lama saya fikirkan dan ada juga yang lambat sehinggakan orang lain sudah dapat dulu. Tapi tak mengapa. Rezeki masing-masing. Apa yang saya ada itulah yang akan saya tunjukkan. Jika dah dapat pada orang lain, tak mengapalah. Mungkin itu idea mereka dan kebetulan pula sama dengan idea saya. Mungkin juga idea saja yang sama tapi kaedahnya pula berbeza. Pada masa kini banyak individu dan organisasi sibuk memikirkan kaedah untuk mencari sumber percuma (free energy).

Perkara yang sama juga saya dan Bro Jimi ada membincangkannya. Isu tersebut sangat menarik tapi pada asalnya saya kurang tertarik kerana terlalu ramai orang mengejar pada idea tersebut. Isu yang dibangkitkan oleh Bro Jimi membuatkan saya tertarik kerana pelbagai idea dan kaedah penyelesaian timbul. Saya bersetuju untuk membina satu sistem free energy yang sebenar-benarnya. Isu tersebut telah dibahaskan sehinggakan sumber percuma seperti solar, air dan angin bukan boleh dipanggil free energy.

Terdapat sumber lain lagi. Semuanya ini timbul setelah kajian terhadap teknologi ufo yang digunakan sehingga ke hari ini dan kita masih tidak ketahui teknologi tersebut kecuali pihak tertentu seperti di A*** 5*. Bagi saya idea tersebut sudah dibongkar tetapi menerimaan idea tersebut tidak mampu ditampung oleh kekuatan pemikiran manusia. Kita ada hadnya. Untuk melangkaui had tersebut bukan perkara mudah. Jika diketahui oleh kita, dunia akan berubah dan kemusnahan akan tercetus. Salah satu idea sistem free energy yang akan saya ketengahkan ini mungkin sudah diketahui, paling tidak pun pihak saintis.

Tidak mungkin mereka tidak terfikir idea yang lebih canggih? Mustahil. Dan banyak idea yang saya terima dari orang luar sudah agak lama dan ianya bukan sesuatu yang baru. Cuma tugas saya dan kita sekarang ini adalah untuk mengetengahkan saja dan untuk menghasil benda yang baru agak sukar terutama bagi bidang elektronik. Insyaallah saya akan usahakan ke arah itu.

MyENik kembali dari bercuti

Assalamualaikum. Salam selamat hari raya. Dan maaf zahir batin. Kini saya kembali bertugas setelah seminggu bercuti raya di kampung halaman. Alhamdulillah selamat rasanya raya tahun ni. Walaupun agak penat dan badan dah mula rasa tak berapa sihat.

Agak-agaknya macam mana raya anda? Seronok atau pun tak? Harap-harap seronok la ye. Yang dapat duit raya tu, tahniah la saya ucapkan. Yang banyak bagi duit raya tu pun doa saya semoga anda akan memperolehi keberkatan hidup dan memperolehi rezeki yang melimpah ruah. Amin.

Raya tahun ni saya agak sibuk dengan pelbagai persiapan raya. Maklumlah banyak kampung nak kena balik. Itu pun masih ada lagi tempat yang belum sampai. Insyaallah kalau ada masa akan sampai lah juga. Perancangan saya cuti raya ni nak buat beberapa kerja dan persiapan untuk MyEnik. Selain dari kain baju dibawa balik ke kampung, tidak ketinggal juga beberapa peralatan dan barang kerja MyEnik. Rancangan saya sebenarnya nak menyiapkan beberapa kerja yang banyak tidak selesai lagi. Disamping persiapan beberapa produk baru MyEnik.

Tapi saya hanya mampu merancang. Hanya Tuhan juga yang menentukannya. Saya tidak mampu untuk membuat kerja-kerja tersebut dan hanya sedikit saja kerja yang mampu saya lakukan. Kerana penat membuat banyak kerja persiapan raya di siang hari, pada malam badan terasa penat dan membuatkan terpaksa tidur awal. Apabila raya tiba, pada malam hari juga masih terasa penat kerana sibuk beraya dan sibuk menyambut tetamu datang beraya. Selesai saja, badan rasa penat dan terus tidur. Jadi perancangan untuk membuat kerja di malam hari sudah banyak terlepas.

Sekiranya badan terasa penat dan mengantuk, saya tiada fokus untuk membuat kerja. Jika dipaksa juga, mungkin banyak kesilapan yang akan berlaku dan menjadikan kerja tidak berkualiti dan mungkin tidak sempurna. Jadi, kesempatan cuti seminggu ini saya gunakan sebaik-baiknya cuti yang diberikan dengan hal-hal bersama keluarga tanpa keluarga menyedari sebenarnya saya mempunyai beberapa kerja lain juga.

Setelah habis bercuti ini, saya memulakan semula tugasan di MyEnik setelah seminggu bercuti dan putus hubungan dengan MyEnik. Insyaallah dengan mulanya tugas hari baru ini pada bulan syawal ini, saya akan cuba selesaikan beberapa kerja dan tugasan yang banyak bertangguh. Sebab kini sekali lagi, saya kembali sepenuh masa di MyEnik setelah beberapa minggu sebelum ini saya sibuk dengan kerja luar sehingga mengganggu pentadbiran MyEnik.

Kepada mereka yang masih menunggu sesuatu, tidak kiralah apa pun seperti projek, produk, buku, komponen dan tempahan, saya akan cuba selesaikan pada minggu ini juga. Terima kasih kerana masih bersabar dan memberi sokongan. Maklumlah... saya sorang je sekarang ni. Lepas ni baru ada pekerja yang akan membantu. Perjalanan MyEnik ni pula ada masa turun dan ada masa naik. Tapi apa pun saya akan cuba menaikkan MyEnik ke tahap paling tinggi. Jika anda tidak memberi sokongan, tidak mungkin MyEnik akan bertahan sehingga ke hari ini. Terima kasih banyak-banyak kepada anda semua.

Selama hari raya. Maaf zahir dan batin. Sesiapa yang tahu rumah saya, jemput la datang beraya ke rumah.